Perbekalan dan logistik Isu_berkaitan_pandemik_COVID-19_di_Malaysia

Kekurangan peralatan asas perubatan

Sejak kes virus yang disyaki muncul di Bintulu, Sarawak, farmasi di negeri itu telah mula kehabisan topeng muka, penyembur pembasmian kuman, pembersih tangan, gel mandi dan produk lain.[50] Beberapa kawasan lain juga menghadapi gangguan bekalan topeng muka.[51][52] Berikutan kejadian ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan bahawa kementerian itu memberi perhatian terhadap kekurangan bekalan topeng[53] dan memberi amaran kepada peniaga untuk tidak menaikkan harga topeng muka sementara kekurangan bekalan, jika tidak, mereka akan dikompaun oleh kementerian.[54] Sesetengah farmasi seperti Caring Pharmacy menasihati pelanggan untuk tidak membeli topeng muka dalam kuantiti yang banyak pada masa yang sama dengan mengambil kira keperluan pelanggan lain. Farmasi itu hanya menetapkan bahawa pelanggan hanya boleh membeli maksimum 1 kotak topeng pada satu masa.[55]

Pembekalan vaksin COVID-19

Beberapa isu dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang terbit ialah dakwaan pihak kenamaan yang sengaja melanggar giliran pemerolehan vaksin untuk divaksin secepat mungkin, atau "memotong barisan" untuk memperoleh vaksin tanpa menghiraukan pihak barisan hadapan yang sepatutnya didahulukan, dengan pihak-pihak terbabit termasuk ahli politik dan para selebriti.[56][57] Selain itu, fahaman antivaksin juga menjadi halangan dalam menjayakan PICK, dengan langkah-langkah pencegahan terpaksa dilakukan untuk mengekang fahaman antivaksin daripada menular.[58][59] Masalah teknikal melibatkan perisian-perisian terlibat dalam PICK seperti aplikasi MySejahtera serta laman web pendaftaran PICK rasmi juga menjadi perdebatan dalam kalangan rakyat.

Dakwaan pemvaksinan kerabat diraja

Terdapat juga dakwaan suatu skandal melibatkan pemerolehan vaksin COVID-19 jenis Sinopharm oleh keluarga diraja Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah dan beberapa pihak lain. Suatu laporan dalam majalah berita dalam talian Asia Sentinel mendakwa bahawa baginda dan pihaknya terbang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk dilalikan di sana serta memohon kira-kira 2,000 dos vaksin Sinopharm daripada seorang putera negara tersebut, Mohamed bin Nayan. Vaksin-vaksin tersebut kemudian dipakai oleh kerabat diraja serta rakan-rakan berkepentingan. Namun begitu, vaksin tersebut masih belum disahkan lagi di Malaysia dan oleh itu, pemvaksinan itu tidak boleh diperakui. Hal ini menyebabkan Hisham Abdullah selaku ketua pengarah kesihatan menghalang pengesahan pemvaksinan mereka serta cuba untuk menyaman dua orang doktor peribadi yang memvaksin mereka, tetapi dihalang oleh baginda serta Perdana Menteri.[60] Menteri Kesihatan, Adham Baba menolak laporan tersebut serta mengesyaki suatu rancangan jahat oleh pihak penulis rencana.[61]

Masalah berlanjutan apabila sebuah komen oleh Permaisuri YDPA, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyindir seorang pengguna media sosial berkenaan pemvaksinan yang diperolehnya, menyebabkan syak dan kritikan dalam segelintir rakyat.[62] Isu ini disusuli dengan isu-isu seperti penahanan pelukis serta aktivis tempatan Fahmi Reza yang melakukan sindiran balas terhadap komen itu atas kesalahan menghina kerabat diraja.

Rujukan

WikiPedia: Isu_berkaitan_pandemik_COVID-19_di_Malaysia http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputp/pua_2... http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputp/pua_2... http://enotifikasi.moh.gov.my/DMS/Documentation/CD... https://www.abc.net.au/news/2021-01-14/malaysia-co... https://coconuts.co/kl/news/fck-politics-banner-in... https://coconuts.co/kl/news/politicianspuncavirus-... https://www.asiasentinel.com/p/malaysia-fades-in-c... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kitamin... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pemuda-...